EGR Bay Pertama Di Malaysia, Bukti Keupayaan Aeroangkasa Selangor

SHAH ALAM: Sektor aeroangkasa Selangor melakar sejarah baharu dengan perasmian Kompleks IVP yang kini menempatkan fasiliti Maintenance, Repair and Overhaul (MRO) bertaraf tinggi, sekali gus menghidupkan semula kompleks yang sekian lama tidak beroperasi secara aktif.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pembangunan itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam merealisasikan Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Selangor 2020–2030 sebagai pemacu pertumbuhan sektor aeroangkasa negara.

“Dengan lebih 67 peratus pemain industri aeroangkasa berpusat di Selangor, potensi negeri ini untuk muncul sebagai hab aeroangkasa utama di rantau Asia Tenggara amat besar.

“Usaha IVP mengaktifkan semula operasi hangar di Subang adalah langkah tepat dan strategik dalam memperkukuh kedudukan ini,” katanya.

Kompleks IVP kini dilengkapi dengan hangar utama, Engine Ground Run (EGR) Bay, serta pelbagai kemudahan sokongan yang memperkukuh kapasiti MRO negara.

Kehadiran syarikat antarabangsa seperti GE Engine Services Malaysia (GEESM) bersama MABES dan BMM membuktikan keyakinan pelabur terhadap potensi Subang sebagai pusat aeroangkasa kompetitif di peringkat global.

Lebih membanggakan, fasiliti EGR Bay yang tersedia merupakan satu-satunya di Malaysia yang mampu menjalankan ujian enjin secara ‘on-wing’ termasuk bagi pesawat bersaiz besar seperti Boeing B777 dan Airbus A350, sekali gus meningkatkan daya saing negara di peringkat serantau.

Selain aspek teknikal, pembangunan itu turut menekankan kelestarian melalui sistem cekap tenaga, pengurusan air mampan serta mitigasi banjir, selari dengan agenda pembangunan bertanggungjawab dan mampan Negeri Selangor.

Dalam jangka panjang, Kompleks IVP dijangka menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi, memperluas rantaian bekalan industri serta mewujudkan limpahan ekonomi kepada rakyat.

Sebanyak 1,543 peluang pekerjaan bakal diwujudkan termasuk 892 jawatan berkemahiran tinggi melibatkan jurutera dan juruteknik, sekali gus memperkukuh tenaga kerja tempatan dalam sektor aeroangkasa.

Kerjasama dengan institusi TVET serta pensijilan melalui CAAM turut memastikan pembangunan bakat tempatan sentiasa relevan dan berdaya saing.

“Pelancaran Kompleks IVP hari ini adalah isyarat jelas bahawa Selangor serius dalam merancakkan sektor aeroangkasa negara, setanding dengan piawaian antarabangsa,” ujar Amirudin.

Anda Mungkin Berminat