KAHERAH: Seorang pelancong lelaki dari Jerman dilaporkan meninggal dunia selepas dipatuk ular ketika bercuti di Mesir pada Isnin, menurut pihak berkuasa.
Mangsa berusia 57 tahun itu, yang identitinya tidak didedahkan, dipercayai menghadiri pertunjukan pawang ular bersama keluarganya di sebuah resort percutian di Hurghada di pesisir Laut Merah.
Menurut polis, pertunjukan tersebut merupakan sebahagian daripada program hiburan hotel dan melibatkan dua ekor ular dipercayai spesies kobra yang diletakkan di bahu penonton.
Insiden tragis itu berlaku apabila salah seekor ular dikatakan menyelinap masuk ke dalam pakaian mangsa sebelum mematuk kakinya.
“Mangsa menunjukkan simptom keracunan yang jelas dan memerlukan bantuan kecemasan,” menurut kenyataan pihak berkuasa.
Mangsa kemudian dikejarkan ke hospital berhampiran, namun disahkan meninggal dunia.
Siasatan kini dijalankan oleh pihak berkuasa dari wilayah Bavaria, Jerman, bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, manakala keputusan ujian toksikologi masih ditunggu.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), antara 81,000 hingga 138,000 kematian dilaporkan setiap tahun di seluruh dunia akibat gigitan ular, selain ramai lagi mengalami kecacatan kekal.
Baca juga:








