KOTA BHARU: Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk 20 ekor lembu dari Thailand yang dianggarkan bernilai RM225,000 dalam satu operasi di kawasan sempadan, semalam.
Menurut kenyataan Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia hari ini, kegiatan itu dikesan ketika pasukan operasi menjalankan tinjauan menggunakan mini pesawat tanpa pemandu (UAV) kira-kira jam 6.45 petang.
Pemantauan tersebut mengesan sebuah lori tiga tan dalam keadaan mencurigakan berhampiran sempadan, selain menemui kumpulan lembu di wilayah Thailand yang dipercayai sedang menunggu untuk diseludup masuk ke Malaysia melalui laluan Sungai Golok.

Serbuan kemudian dijalankan, namun seorang lelaki dipercayai warga tempatan melarikan diri dengan meninggalkan kenderaan serta muatan bagi mengelak ditahan.
“Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 20 ekor lembu tanpa permit import sah serta sebuah lori Isuzu tiga tan yang digunakan untuk mengangkut ternakan berkenaan telah dirampas,” menurut kenyataan itu.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM225,000 dan satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Lubok Stol, Rantau Panjang, Pasir Mas.
Kesemua rampasan diserahkan kepada pihak kastam di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Bunga untuk tindakan lanjut.
Baca juga:








