Jualan Rahmah diperluas bantu rakyat hadapi krisis tenaga global


Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Demi mengurangkan kos hidup rakyat di saat krisis tenaga global, Kerajaan Madani bakal meningkatkan lagi program Jualan Rahmah Madani yang akan melibatkan seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pada tahun lalu Kerajaan Madani telah melaksanakan lebih 25,000 program Jualan Rahmah dan pada tahun ini ianya telah meningkat sehingga 30,000.

“Jadi saya ingin untuk dimulakan segera sekarang, dan untuk tahun 2026 ini kita telah mengumumkan 30,000 Jualan Rahmah.

“Maknanya ditingkatkan. Satu, semua kawasan DUN dan kedua, mesti dilakukan sekali pada setiap minggu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat di Sidang Media Krisis Tenaga Global pada Selasa.

Anwar menjelaskan, dengan penjimatan yang ada di Program Jualan Rahmah rakyat dapat memastikan barang murah yang boleh dibeli pada hari dan jadual yang tetap.

Beliau menekankan, Kerajaan Madani bukan sahaka memberi tumpuan program itu diadakan di kawasan pinggir bandar malah turut di beberapa kawasan desa dan kampung yang terpilih.

“Dan dalam menjayakan program ini dan memberi manfaat kepada golongan peniaga kecil, kita nak pastikan supaya, peniaga kecil juga terlibat.

“Kita tidak mahu ini jadikan satu gelanggang untuk syarikat-syarikat besar, tetapi untuk memastikan faedah daripada Jualan Rahmah MADANI ini memberi kesempatan kepada peniaga-peniaga kecil menjual barangan mereka dengan kadar harga yang lebih murah,” katanya.

Namun beliau menegaskan bahawa ikhtiar sebegitu tidak menyelesaikan semua namun beliau percaya baahwa ianya dapat meringankan serba sedikit tekanan yang dihadapi oleh seluruh negara ketika ini.

“Saya percaya ia dapat meringankan sedikit tekanan sekarang ini, dan insya-Allah dalam acara mingguan kita, dan mesyuarat Jemaah Menteri esoknya, setiap hari Rabu, kita akan terus meneliti dan mencari beberapa ikhtiar baru untuk mengurangkan beban yang ditanggung oleh rakyat,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat