SENAI: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berangkat ke Moscow pagi ini atas jemputan khas Kerajaan Persekutuan Rusia bagi menghadiri sambutan ulang tahun Hari Kemenangan yang dijadual berlangsung pada 9 Mei.
Menurut perkongsian di laman Facebook rasmi baginda, jemputan tersebut membawa makna besar kerana ia mencerminkan kedudukan Malaysia yang dihormati di pentas antarabangsa.
“Jemputan khas daripada Presiden Rusia kepada Seri Paduka Baginda mencerminkan pengiktirafan tertinggi Kerajaan Rusia terhadap Malaysia,” kata kenyataan itu pada Rabu.
Pesawat peribadi Seri Paduka Baginda berlepas dari Hangar Diraja Lapangan Terbang Antarabangsa Senai pada pukul 8 pagi, dengan keberangkatan turut disaksikan oleh kerabat diraja Johor iaitu Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj yang hadir mengucapkan selamat berangkat.
Turut hadir memberi penghormatan ialah Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, bersama Ketua Polis Negara serta beberapa pegawai kanan Polis Diraja Malaysia dan Kerajaan Negeri Johor.








