MyKad baharu dilancar Jun ini, dilengkapi 53 ciri keselamatan canggih


PUTRAJAYA: MyKad baharu yang dijadual diperkenalkan pada Jun ini akan dilengkapi sebanyak 53 ciri keselamatan termasuk penggunaan kod respons pantas (QR) bagi tujuan penguatkuasaan dan pengesahan identiti.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Badrul Hisham Alias berkata, pelancaran dokumen identiti baharu itu akan diumumkan secara rasmi oleh Kementerian Dalam Negeri Malaysia (KDN).

Menurut beliau, pihak JPN telah bersedia sepenuhnya bagi pelaksanaan penggunaan MyKad generasi baharu tersebut.

“Sebelum ini MyKad mempunyai 23 ciri keselamatan, namun kini ia ditambah baik kepada 53 ciri keselamatan termasuk turihan laser, ultraviolet (UV), hologram, guilloche, microtext, kod QR untuk penguatkuasaan serta cip dengan tahap enkripsi lebih tinggi,” katanya, seperti dipetik berita tempatan pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau menegaskan MyKad sedia ada sejak diperkenalkan sebelum ini dipercayai tidak boleh diklon kerana memiliki sistem keselamatan yang kukuh.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan tiada pembaharuan dilakukan terhadap penggunaan MyKid ketika ini.

Bagaimanapun, dua lagi dokumen pengenalan baharu yang akan diperkenalkan ialah MyTentera dan MyPoca.

Dalam ucapannya, Badrul Hisham berkata pengenalan MyKad baharu itu merupakan usaha kerajaan memperkukuh sistem identiti nasional yang lebih moden, selamat dan diyakini selaras perkembangan teknologi semasa.

“Dalam era ancaman pemalsuan identiti, jenayah rentas sempadan dan penyalahgunaan teknologi digital, negara memerlukan sistem identiti yang lebih dinamik dan selamat,” katanya.

Terdahulu pada Januari lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata pengenalan dokumen baharu tersebut menjadi satu pencapaian penting, khususnya ketika pasport Malaysia kini berada dalam kelompok pasport paling dipercayai di dunia.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat