LIMBANG: Sebanyak 350 kelas prasekolah baharu diwujudkan di seluruh negara tahun ini sebagai usaha memperluas akses pendidikan awal kanak-kanak.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, usaha itu dilaksanakan secara bersungguh-sungguh bagi memastikan lebih ramai kanak-kanak mendapat peluang mengikuti pendidikan prasekolah sebelum memasuki alam persekolahan.
“Usaha peluasan prasekolah kami lakukan dengan bersungguh-sungguh. Pada tahun ini sahaja, sebanyak 350 kelas prasekolah baharu diwujudkan di seluruh negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika meninjau projek pembinaan dua kelas prasekolah baharu di Sekolah Kebangsaan Bandar Limbang sempena program Tindak Susul Parlimen.
Menurut beliau, pendidikan awal kanak-kanak penting dalam membentuk perkembangan holistik merangkumi aspek intelek, sosial, emosi, jasmani dan rohani.
“Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035 turut menekankan kepentingan pendidikan peringkat prasekolah sebagai asas utama pembangunan modal insan,” katanya.
Baca juga:








