KEPALA BATAS: Kerajaan MADANI sentiasa berhati-hati dalam setiap keputusan berkaitan harga barang dan kos sara hidup bagi memastikan rakyat tidak terbeban, kata Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, amat mengambil berat isu kenaikan harga barang, khususnya yang melibatkan keperluan asas rakyat.
“Setiap keputusan berkaitan subsidi dan harga barangan asas dibincangkan dengan teliti supaya rakyat tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup,” katanya ketika berucap pada Ceramah Isu-Isu Semasa di hadapan Pejabat AMANAH Pulau Pinang di Sungai Dua, pada Jumaat.
Mohamad, yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, berkata isu subsidi ayam dan telur antara perkara yang dibincangkan berulang kali bagi memastikan harga makanan kekal terkawal.
Beliau berkata, setakat ini harga makanan di Malaysia masih stabil dan berada pada tahap yang lebih baik berbanding banyak negara lain.
“Kita perlu terus bekerjasama dengan petani, penternak, nelayan dan semua pemain industri makanan untuk memastikan bekalan negara kekal stabil dan harga terus mampu dinikmati rakyat,” katanya.
Pada masa sama, beliau menyeru ahli dan penyokong Pakatan Harapan supaya terus mempertahankan kerajaan sedia ada serta bekerja lebih keras bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
Baca juga:








