CEBU: Kerajaan memberi jaminan bekalan minyak dan diesel negara kini berada dalam keadaan lebih stabil hasil langkah proaktif yang dilaksanakan, khususnya menerusi penyelarasan di bawah Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan telah mengambil beberapa pendekatan bagi memastikan bekalan bahan api negara mencukupi termasuk melalui import sekiranya diperlukan.
“Kita mengambil langkah lebih proaktif, khususnya di bawah PETRONAS. Kita sudah memastikan bekalan minyak dan diesel dapat diagihkan dengan lebih seimbang.
“Ini juga hasil beberapa langkah asas yang diambil termasuk mengurangkan penggunaan RON95 serta memperkukuh kawalan bagi menangani ketirisan diesel.
“Jadi, penggunaan kini jauh lebih rendah. Kita juga mengambil langkah mengimport bekalan dan dari segi bekalan, keadaannya tidak lagi setegang seperti dua bulan lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 di Cebu hari ini.
Menurut beliau, usaha mengurangkan kebocoran dan ketirisan diesel turut membantu menurunkan kadar penggunaan bahan api berkenaan sekali gus memastikan bekalan domestik kekal stabil.
Katanya, langkah itu penting bagi mengurangkan tekanan terhadap kerajaan ketika harga tenaga global masih tidak menentu.
Tambah beliau, isu bekalan tenaga kini menjadi antara perhatian utama negara ASEAN susulan konflik di Asia Barat yang memberi tekanan kepada pasaran minyak dan gas dunia.
“Selain isu bekalan, peningkatan kos bahan api turut memberi kesan kepada harga makanan, baja dan pengangkutan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata ASEAN mengambil pendekatan lebih proaktif bagi memperkukuh kerjasama serantau termasuk memastikan negara yang mempunyai lebihan bekalan memberi keutamaan kepada negara jiran.
Menurutnya, langkah berkenaan penting bagi melindungi rakyat daripada tekanan kenaikan harga barang selain memastikan keselamatan tenaga di rantau ini terus diperkukuhkan.
Baca juga:








