PM tinjau pos keselamatan, hargai pengorbanan ATM di Pulau Banggi

KUDAT: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan lawatan kerja ke Sabah pagi ini dengan mengunjungi Pulau Banggi sejurus selesai menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di Filipina.

Dalam lawatan itu, Anwar berkunjung ke Pos Dogoton bagi meninjau tahap kesiapsiagaan pasukan keselamatan yang bertugas di kawasan sempadan Malaysia-Filipina.

Menurutnya, Pos Dogoton merupakan antara pos keselamatan hadapan yang bersempadan dengan perairan Filipina dan memainkan peranan penting dalam mempertahankan kedaulatan serta keselamatan perairan negara di utara Sabah.

“Pos ini menjadi benteng utama dalam mengawal ancaman pencerobohan, penyeludupan dan pelbagai aktiviti jenayah rentas sempadan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Sabtu.

Sepanjang lawatan, beliau diberikan taklimat mengenai pelaksanaan operasi di kawasan berkenaan sebelum dibawa meninjau kepulauan berhampiran serta pengoperasian sistem radar yang menjadi aset penting dalam pemantauan keselamatan.

Anwar berkata, penugasan di kawasan terpencil dengan keadaan muka bumi serta cuaca yang mencabar menuntut ketahanan mental, disiplin dan semangat juang yang tinggi dalam kalangan anggota keselamatan.

Beliau turut merakamkan penghargaan tertinggi kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas di Pos Dogoton dalam memastikan kedaulatan negara terus terpelihara.

“Keteguhan, keberanian dan kesiapsiagaan pasukan dalam mempertahankan setiap inci perairan negara daripada sebarang ancaman adalah lambang pengorbanan yang jarang terlihat, namun menjadi benteng yang memastikan rakyat terus hidup aman dan tenteram,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat