PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar terus dihormati kerana sanggup menawarkan had tempoh jawatan Perdana Menteri meskipun ketika sedang memegang kuasa, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Menurut beliau, langkah itu mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh prinsip semak dan imbang serta mengelakkan pemusatan kuasa politik yang berlebihan dalam sistem demokrasi negara.
“Sebab itulah Perdana Menteri Malaysia ke-10, Anwar Ibrahim, wajar dihormati kerana beliau sendiri menawarkan untuk mengehadkan tempoh jawatannya.
“Maksudnya, kalau tempohnya 10 tahun, sekarang ini beliau sudah pun memegang jawatan itu selama tiga tahun.
“Jadi katakanlah beliau bertanding, contoh pilihan raya tahun ini… beliau boleh jadi Perdana Menteri lagi tujuh tahun,” katanya.
Azalina berkata demikian ketika sesi soal jawab bersama peserta program Town Hall Kerangka Akauntabiliti MADANI 2026 di sini pada Ahad.
Beliau turut memaklumkan bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 berkaitan had tempoh jawatan Perdana Menteri akan dibentangkan semula di Dewan Rakyat pada Jun ini.
Katanya, kegagalan RUU itu sebelum ini berpunca daripada ketidakhadiran beberapa ahli Parlimen.
“Ahli Parlimen termasuk yang tidak bersetuju dengan mana-mana RUU masih bertanggungjawab untuk menghadiri persidangan Parlimen bagi memastikan pendirian atau bantahan mereka direkodkan secara rasmi,” katanya.
Pada Mac lalu, RUU tersebut gagal diluluskan selepas undi belah bahagian hanya menyaksikan 146 ahli Parlimen menyokong, manakala 32 tidak hadir dan 44 tidak mengundi.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, pindaan Perlembagaan itu memerlukan sekurang-kurangnya 148 undi untuk diluluskan.







