Budaya ‘share’ tanpa semak hakis empati masyarakat – Pakar

KUALA LUMPUR: Fenomena fitnah di media sosial kini menjadi cabaran sosial yang semakin serius apabila penyebaran maklumat tidak sahih bukan sahaja menjejaskan reputasi individu, malah meninggalkan kesan psikologi yang mendalam kepada mangsa.

Timbalan Dekan Ijazah Dasar Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Azmawaty Mohamad Nor berkata, kepantasan penyebaran maklumat dalam dunia digital hari ini membuka ruang luas kepada budaya tuduhan dan perkongsian tanpa semakan yang boleh memberi tekanan emosi berpanjangan.

Katanya, mangsa fitnah berdepan reaksi awal seperti terkejut, marah, malu dan keliru apabila nama mereka menjadi bahan perbualan umum di media sosial.

“Fitnah yang tersebar secara terbuka menyebabkan mangsa merasakan reputasi mereka sedang dihakimi ramai termasuk oleh individu yang tidak mengenali diri sebenar mereka,” katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.

Beliau berkata, kesan jangka pendek termasuk gangguan tidur, kesukaran memberi tumpuan dan kebimbangan berterusan, manakala kesan jangka panjang boleh menyebabkan individu menjauhkan diri daripada masyarakat, hilang keyakinan diri serta sukar mempercayai orang lain.

Menurutnya, dalam keadaan lebih serius, pengalaman tersebut boleh meninggalkan trauma emosi yang berpanjangan dan menjejaskan kehidupan harian mangsa.

“Tekanan akibat fitnah digital boleh mencetuskan simptom kemurungan seperti rasa tidak berharga, hilang semangat dan keletihan emosi, terutama jika seseorang menjadi sasaran serangan berulang,” katanya.

Beliau menjelaskan, manusia secara semula jadi lebih mudah memberi perhatian kepada perkara negatif berbanding positif, menyebabkan satu komen buruk mampu meninggalkan kesan lebih mendalam berbanding banyak komen yang baik.

Dalam masa sama, beliau turut mengulas faktor yang mendorong penyebaran maklumat tidak sahih, antaranya keinginan mendapatkan perhatian dalam budaya media sosial yang menjadikan jumlah “likes” dan “shares” sebagai ukuran pengaruh.

Katanya, rasa terlindung di sebalik skrin turut menyebabkan segelintir pengguna kurang merasakan tanggungjawab terhadap kesan tindakan mereka.

“Banyak maklumat tidak sahih disebarkan bukan semata-mata kerana niat jahat, tetapi akibat sikap tergesa-gesa berkongsi tanpa membuat semakan terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata, budaya viral dalam media sosial turut menyebabkan ramai pengguna mahu menjadi individu pertama menyebarkan sesuatu cerita tanpa memikirkan kesan terhadap pihak lain.

Dalam pada itu, Dr. Azmawaty menasihatkan mangsa fitnah digital supaya mengambil langkah mengurus emosi secara bijak termasuk berehat sementara daripada media sosial bagi memberi ruang kepada diri untuk bertenang dan pulih.

Katanya, mangsa juga digalakkan berkongsi masalah dengan individu dipercayai seperti keluarga dan rakan rapat selain mendapatkan bantuan profesional sekiranya tekanan emosi semakin serius.

“Sokongan sosial amat penting kerana apabila seseorang berasa didengar dan difahami, beban emosi akan menjadi lebih ringan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa pendedahan berterusan kepada kandungan negatif boleh menyebabkan masyarakat menjadi semakin kurang sensitif terhadap perasaan orang lain sehingga budaya mengecam dan menghina dianggap perkara biasa.

Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan amalan “berhenti seketika sebelum berkongsi” dengan memastikan sesuatu maklumat benar, perlu dan tidak berpotensi menyakiti orang lain.

Menurut beliau, pendidikan literasi digital dan emosi perlu diperkukuh khususnya dalam kalangan generasi muda bagi membentuk masyarakat yang lebih bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial.

“Ibu bapa juga perlu membimbing anak-anak membina daya tahan emosi dan kemahiran berfikir secara kritikal supaya mereka lebih matang berdepan cabaran dunia digital,” katanya.

Dr. Azmawaty menegaskan bahawa setiap tindakan di ruang digital mencerminkan nilai diri seseorang kerana di sebalik setiap akaun media sosial, terdapat manusia sebenar yang mempunyai perasaan dan emosi yang nyata.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat