MCMC kesan lebih 600 kandungan palsu berkait krisis tenaga, syaki gerakan tersusun

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesan lebih 600 kandungan palsu berkaitan krisis tenaga dan isu bekalan global yang dipercayai disebarkan menerusi tindakan terancang atau Coordinated Inauthentic Behavior (CIB).

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kandungan yang dikenal pasti sejak 29 Mac lalu itu melibatkan pelbagai isu termasuk harga bahan api dan dakwaan tidak berasas berkaitan tol di Selat Hormuz.

Menurut beliau, hasil pemantauan dan siasatan MCMC mendapati terdapat petunjuk wujudnya penyebaran maklumat palsu secara tersusun.

“Daripada pengamatan dan siasatan pihak MCMC, tidak boleh diketepikan kemungkinan wujud tindakan yang dirancang untuk menyebarkan maklumat palsu melalui kaedah Coordinated Inauthentic Behavior atau CIB.

“Kebanyakan hantaran ini menggunakan grafik yang sama, dimuat naik dalam tempoh masa hampir serentak serta disebarkan secara meluas,” katanya pada Sidang Media Mingguan di Angkasapuri Kota Media.

Susulan itu, beliau memaklumkan sebanyak lima kes telah dan akan dibawa ke mahkamah, manakala lapan lagi kes dikenakan kompaun dengan jumlah keseluruhan mencecah RM200,000.

Tambah beliau, beberapa kes lain masih dalam siasatan serta menunggu tindakan lanjut daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya.

Fahmi turut menegaskan pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan bahawa sebahagian kandungan berkenaan merupakan usaha terancang untuk mencetuskan spekulasi dan panik dalam kalangan masyarakat menerusi penyebaran maklumat palsu di media sosial.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat