Semua projek terbengkalai wajar didedah, senarai hitamkan syarikat bermasalah

KUALA LUMPUR: Pengerusi PKR Perlis, Noor Amin Ahmad menggesa supaya semua projek terbengkalai di negara ini didedahkan secara telus termasuk punca sebenar kelewatan dan pihak yang bertanggungjawab.

Beliau berkata, sudah tiba masanya kerajaan mengambil tindakan lebih tegas terhadap syarikat serta pemilik projek yang didapati gagal menyiapkan projek kerajaan mengikut jadual.

“Sudah tiba masanya semua projek terbengkalai di Malaysia ini didedahkan perincian dan sebab-sebab kelewatan. Ada sebab sahih dan ada sebab yang diada-adakan.

“Yang mana diada-adakan, elok disiasat lebih lanjut. Bekukan syarikat dan pemilik daripada sebarang projek kerajaan untuk satu tempoh terutama sehingga selesai siasatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu projek Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Limau di Kedah yang didakwa mengalami kelewatan serius dan terbengkalai.

Menurut maklumat yang dikongsikan, Menteri Ekonomi sebelum ini mendedahkan kontraktor utama yang menerima projek pembinaan LRA berkenaan didakwa tidak mempunyai kepakaran membina loji rawatan air.

Semakan turut mendapati syarikat Widad didakwa menerima kontrak pembinaan LRA Sungai Limau bernilai RM89.8 juta daripada kerajaan negeri Kedah sebelum menyerahkan subkontrak kepada Grand Hoover Berhad, yang kini dikenali sebagai PTT Synergy Group, dengan nilai RM75 juta.

Selain itu, projek LRA Bukit Selambau yang diperoleh Widad dengan nilai RM129.4 juta juga didakwa disubkontrakkan kepada syarikat sama pada nilai RM110.02 juta.

Hal ini turut melibatkan projek Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai pakej 3C apabila syarikat berkenaan didakwa menyerahkan subkontrak kepada Grand Hoover selepas memperoleh kontrak asal daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).

Kenyataan itu turut menyebut yang terkesan ialah rakyat Kedah, bukannya pemimpin politik.

Justeru, beliau turut menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh sekiranya terdapat unsur kelemahan tadbir urus, salah guna kuasa atau kegagalan pemantauan dalam pelaksanaan projek terbabit.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat