LANGKAWI: Sebuah pesawat latihan jenis Diamond Aircraft model DA-40 dilaporkan melakukan pendaratan cemas di Kuah, Langkawi pada tengah hari Selasa.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataan rasmi mengesahkan insiden itu, melibatkan pesawat bernombor pendaftaran 9M-HMJ yang sedang menjalani penerbangan latihan berjadual.
“Pesawat itu dilaporkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada pukul 9.54 pagi bagi menjalani penerbangan latihan berjadual,” kata CAAM.
Difahamkan, komunikasi terakhir antara pesawat dan Menara Kawalan Trafik Udara Langkawi direkodkan pada pukul 10.29 pagi.
Walaupun insiden mencemaskan itu berlaku, CAAM berkata, kedua-dua individu di dalam pesawat termasuk juruterbang dilaporkan selamat.
Sejurus selepas kejadian, Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) di bawah Kementerian Pengangkutan telah diarahkan menjalankan siasatan terperinci.
Proses itu akan dilaksanakan selaras dengan Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 bagi memastikan punca sebenar insiden dapat dikenal pasti dan langkah keselamatan diperkukuh.








