Tengku Zafrul Tempelak Dakwaan Rafizi Terkait Insentif Pelaburan

PETALING JAYA: Bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menegaskan bahawa pemberian insentif kepada pelabur asing bukanlah sesuatu yang luar biasa, sebaliknya merupakan amalan biasa di seluruh dunia dalam usaha menarik pelaburan strategik bernilai tinggi khususnya dalam industri semikonduktor.

Penjelasan itu dibuat bagi menempelak kenyataan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli yang mendakwa Kerajaan MADANI menerusi MITI telah ‘membayar’ pelabur luar negara dan bukannya berusaha menarik mereka masuk melabur di Malaysia.

“Apa yang Malaysia dapat balik adalah pelaburan yang betul dan bukan sekadar syarikat asing buka kilang untuk dibuat dengan betul, ia dibina satu ekosistem pelaburan buat negara,” katanya dalam satu video di Facebook.

Menurut Tengku Zafrul, Malaysia turut mengambil pendekatan sama seperti negara lain dengan menawarkan pelbagai insentif pelaburan bagi memastikan negara kekal kompetitif dalam menarik syarikat multinasional berteknologi tinggi.

Bagaimanapun, beliau berkata, persoalan utama bukan sekadar memberi insentif tetapi pulangan sebenar yang diterima negara hasil pelaburan tersebut.

Tengku Zafrul berkata, pelaburan berkualiti mampu membina keseluruhan ekosistem industri termasuk peluang pekerjaan teknikal, pembangunan bakat jurutera, pertumbuhan vendor tempatan serta pemindahan teknologi.

“Syarikat Multinasional seperti Intel menjadi contoh kejayaan model pelaburan berimpak tinggi apabila operasi syarikat itu di Pulau Pinang sejak 1972 berkembang daripada fasiliti pemasangan kepada pusat reka bentuk, pembangunan dan ujian teknologi.

“Secara tidak langsung membantu melahirkan tenaga kerja mahir tempatan termasuk jurutera reka bentuk, pengurus rantaian bekalan serta bakat penyelidikan dan pembangunan (R&D),” katanya.

Katanya, Malaysia tidak mahu sekadar menerima pelaburan, sebaliknya memastikan setiap pelaburan memberi impak besar kepada ekonomi dan rakyat.

Terdahulu, dalam satu temu bual di Podcast Yang Berhenti Menteri, Rafizi mendakwa pelaburan yang dibawa MITI pada hakikatnya ‘dibayar’ oleh kerajaan dalam bentuk insentif khususnya bagi menarik pelabur strategik dalam industri semikonduktor negara.

Anda Mungkin Berminat