KUNDASANG: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu pada pukul 8.30 pagi sempena Ekspedisi Mahkota Borneo.
Menurut hantaran di Facebook rasmi Kesultanan Pahang, baginda memulakan pendakian dari Panalaban pada pukul 2.30 pagi sebelum tiba dengan selamat di puncak gunung tertinggi negara itu dalam keadaan cuaca yang baik.
“Kejayaan ini mencerminkan semangat ketahanan fizikal, disiplin serta kecekalan tinggi Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku dalam menjayakan misi ekspedisi ini,” menurut kenyataan itu pada Rabu.
Ekspedisi Mahkota Borneo bukan sekadar pendakian, malah menjadi simbol keberanian, perpaduan dan kecintaan terhadap alam semula jadi.
Ia turut memberi inspirasi kepada golongan belia untuk terus mencabar kemampuan diri serta mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif.
Selain itu, pendakian itu memperlihatkan komitmen Tengku Hassanal dalam mendekati rakyat serta menyantuni komuniti setempat sepanjang program berlangsung.








