JOHOR BAHRU: Polis Daerah Johor Bahru Utara mengesahkan satu video tular di media sosial yang memaparkan sebuah lori polis hampir terbabas di Kilometer 8, Jalan Johor Bahru–Ayer Hitam, Johor Bahru, Johor.
Video berkenaan dimuat naik di TikTok oleh pemilik akaun ‘kapitan_amir’.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, ACP Radin Ramlan Radin Taha, siasatan mendapati kejadian berlaku pada 12 Mei 2026 sekitar pukul 4.45 petang.
Menurut beliau, lori milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dipandu oleh seorang anggota polis berusia 34 tahun itu turut dinaiki anggota pengiring dan banduan dalam perjalanan ke Mahkamah Johor Bahru.
“Lori tersebut hampir terbabas di lorong kanan KM 8, Jalan Johor Bahru–Ayer Hitam, namun pemandu berjaya mengawal kenderaan sebelum terbabas,” katanya dalam kenyataan media pada Khamis.
Beliau berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada tumpahan minyak di permukaan jalan.
Radin Ramlan turut memaklumkan bahawa pemandu lori, anggota pengiring serta banduan yang berada dalam kenderaan tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan mengamalkan sikap pemanduan berhemah demi keselamatan semua pengguna jalan raya.








