KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan bantahan keras terhadap keputusan kerajaan Norway yang tidak meluluskan permit eksport bagi perolehan siri peluru berpandu untuk Malaysia dengan menyifatkan tindakan unilateral itu sebagai tidak boleh diterima.
Dalam perbualan telefon dengan Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Støre, Anwar berkata, Malaysia telah menunaikan semua tanggungjawab di bawah kontrak sejak 2018 tanpa sebarang keraguan.
“Malaysia telah memenuhi setiap kewajipan di bawah kontrak ini sejak 2018 dengan penuh teliti, setia dan tanpa sebarang keraguan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis.
Beliau berkata, keputusan Norway itu akan memberi kesan besar terhadap kesiapsiagaan operasi pertahanan negara serta program pemodenan Littoral Combat Ship (LCS).
“Keputusan ini akan membawa kesan serius terhadap kesiapsiagaan operasi pertahanan Malaysia dan program pemodenan LCS.
“Selain memberi implikasi lebih luas terhadap keseimbangan strategik di rantau ini,” kata beliau.
Anwar turut menegaskan bahawa kontrak yang telah dimeterai mesti dihormati dan tidak boleh dibatalkan sesuka hati.
“Jika pembekal pertahanan Eropah boleh mungkir janji tanpa sebarang akibat, maka nilai dan kredibiliti mereka sebagai rakan strategik akan terhakis sama sekali,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dijadual bertemu rakan sejawatnya dari Norway di Singapura hujung bulan ini bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung keputusan mengejut kerajaan negara itu menyekat lesen eksport peluru berpandu antikapal (NSM) kepada Malaysia.








