Insentif, Peranti MADANI Untuk Pelajar Cemerlang SPM

KUANTAN: Majlis Apresiasi Kecemerlangan SPM 2025 Parlimen Indera Mahkota dan Kuantan berlangsung penuh meriah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah, Kuantan, dengan kehadiran lebih 2,000 hadirin bagi meraikan hampir 1,800 pelajar cemerlang SPM 2025.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi berkata, kejayaan luar biasa itu turut meletakkan Pahang di kedudukan kedua terbaik peringkat nasional dengan Gred Purata Negeri (GPN) 4.08 iaitu satu pencapaian yang membanggakan hasil usaha gigih pelajar serta sokongan warga pendidik dan ibu bapa.

“Syabas diucapkan atas segala usaha dan kegigihan yang akhirnya membuahkan hasil yang membanggakan ini,” katanya yang hadir mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebagai tanda penghargaan, beliau menyampaikan insentif serta sumbangan khas kepada pelajar lepasan SPM 2025 cemerlang yang memperoleh keputusan antara 4A hingga 12A.

Turut diraikan, sembilan pelajar cemerlang dalam senarai eKasih yang menerima komputer riba di bawah inisiatif Peranti MADANI oleh Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).

Majlis turut diisi dengan slot penerangan mengenai hala tuju ke pengajian tinggi melalui UPU oleh wakil daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Turut hadir ialah Pegawai Pendidikan Daerah Kuantan, Shaiful-Azizi Sukri, Timbalan Pengarah Pejabat Pembangunan (ICU) Negeri Pahang, YM Tengku Datuk Nor Asmaliza Ku Lah, wakil rasmi Pengerusi Yayasan Taqwa, Saifulizan Haron serta Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kuantan, Norkasmadi Nordin, .

“Terima kasih juga buat para ibu bapa dan seluruh warga pendidik yang sentiasa menjadi tulang belakang buat kejayaan mereka,” tambah Ahmad Farhan.

Beliau berkata, Kerajaan MADANI sentiasa komited meletakkan agenda pendidikan sebagai keutamaan tertinggi demi memartabatkan masa depan generasi muda negara.

“Semoga pencapaian yang telah dinikmati dapat membakar semangat mereka untuk terus berjaya di masa yang akan datang,” katanya.

Anda Mungkin Berminat