JPA Kekal Terajui Sektor Awam, Semarakkan Inovasi 2026

PETALING JAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju reformasi sektor awam dengan menganjurkan Program Semarakkan Inovasi Awam 2026, sebuah platform strategik yang mengarusperdanakan inovasi sebagai pemacu utama transformasi pentadbiran negara.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, program yang dianjurkan bersama Kerajaan Negeri Selangor itu menghimpunkan lebih 800 pemegang taruh merentas kementerian, agensi Persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan serta rakan strategik yang mencerminkan kekuatan pendekatan kolaboratif dalam membangunkan ekosistem inovasi sektor awam yang mampan.

“Bertemakan Inovasi MADANI Pemacu Reformasi, penganjuran ini menandakan peralihan paradigma sektor awam daripada sekadar pelaksana dasar kepada pencipta penyelesaian, selaras dengan tuntutan semasa yang memerlukan pendekatan lebih tangkas, kreatif dan berorientasikan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, inovasi kini bukan lagi pilihan, sebaliknya keperluan strategik untuk memastikan sektor awam kekal relevan, tangkas dan berdaya saing.

“Kita mesti berani beralih daripada sekadar melaksanakan dasar kepada mencipta penyelesaian yang memberi nilai sebenar kepada rakyat,” katanya.

Seiring perkembangan global, sektor awam kini bergerak daripada model ‘Government as a Service’ kepada ‘Government as a Platform’ bagi memperkukuh peranan kerajaan sebagai pemudah cara dalam penciptaan nilai awam secara kolaboratif dan inklusif.

JPA sebagai agensi pusat kekal berprinsip dengan slogan “Peneraju Pembaharuan, Penggerak Perubahan”, terus memacu agenda ini melalui pelbagai inisiatif strategik termasuk pembangunan kepakaran digital, pengukuhan tadbir urus serta pelaksanaan Ekosistem Pembaharuan Tadbiran Sektor Awam (EPTSA) sebagai kerangka holistik untuk penganjakan berterusan di seluruh jentera kerajaan.

“JPA komited untuk memastikan inovasi dilaksanakan secara menyeluruh dan sistematik melalui pengukuhan tadbir urus, pembangunan bakat serta pemanfaatan pendigitalan dan kecerdasan buatan sebagai pemangkin utama reformasi sektor awam,” jelasnya.

Pendekatan inovasi yang diketengahkan turut menekankan prinsip ‘human-centric’ bagi memastikan setiap penyelesaian benar-benar memenuhi keperluan rakyat serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

Majlis turut menyaksikan pelancaran Pekeliling Pembaharuan Sektor Awam oleh Ketua Setiausaha Negara, yang memberi penekanan kepada inovasi, pendigitalan dan fleksibiliti kerja sebagai teras utama transformasi.

Selain itu, pameran inovasi dengan 19 reruai mempamerkan keupayaan sektor awam menterjemahkan idea kepada penyelesaian praktikal dalam bidang kesihatan, pendidikan, bandar pintar dan kelestarian.

Anda Mungkin Berminat