KUALA LUMPUR: Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, memberi jaminan bahawa projek-projek untuk rakyat akan terus dilaksanakan meskipun sektor pembinaan berdepan tekanan akibat krisis geopolitik di Asia Barat.
Beliau berkata, konflik tersebut telah menyebabkan kenaikan harga minyak dunia, sekali gus meningkatkan kos bahan binaan dan logistik dalam negara.
“Konflik geopolitik yang sedang berlaku ketika ini bukan lagi isu luar semata-mata kerana kesannya turut dirasai dalam sektor pembinaan negara,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR), pada Selasa.
Menurut beliau, antara komponen yang terjejas termasuk bahan api, bitumen, keluli dan simen yang memberi tekanan kepada pelaksanaan projek sedia ada.
“Namun dalam suasana global yang tidak menentu ini, prinsip KKR jelas iaitu projek rakyat mesti diteruskan dan tidak boleh dihentikan,” tegasnya.
Sehubungan itu katanya, kementerian bersama agensi berkaitan seperti Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) dan CIDB Malaysia akan terus memantau kesan kenaikan kos secara berkala.
“Saya telah arahkan supaya pelan tindakan segera diselaras dan pemantauan dilakukan secara berterusan agar keputusan dapat dibuat dengan cepat dan berasaskan data,” katanya.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan kerajaan turut meneliti beberapa langkah mitigasi termasuk pelarasan pelaksanaan projek seperti perubahan skop kerja, lanjutan masa atau penjadualan semula bagi projek yang benar-benar terjejas.
“Langkah ini penting bagi memastikan projek dapat diteruskan tanpa menjejaskan kepentingan rakyat,” katanya.








