KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan insiden kebakaran yang menimpa Sekolah Menengah Ugama (A) Darul Ulum Muhammadiah sebagai satu ujian besar kepada warga sekolah berkenaan.
Beliau berkata, tindakan segera telah diarahkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU JPM) serta agensi berkaitan bagi memastikan langkah penyelesaian dilaksanakan tanpa berlengah.
“Keutamaan kita ketika ini adalah memastikan keselamatan pelajar dan kelancaran pembelajaran yang terjejas akibat kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurut beliau, kerajaan melalui gagasan MADANI akan mempercepatkan penyaluran bantuan yang diperlukan selain bekerjasama rapat dengan semua pihak bagi mempercepatkan kerja-kerja pemulihan.
Anwar turut menegaskan komitmen kerajaan untuk memastikan sekolah berkenaan dapat kembali beroperasi seperti sediakala dalam tempoh terdekat.
“Seperti yang saya tegaskan sebelum ini, soal keselamatan, keselesaan dan kebajikan anak-anak dalam menuntut ilmu sentiasa menjadi keutamaan kerajaan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan bahawa tiga blok bangunan sekolah di Kampung Kolam, Pak Badol terbakar dan musnah hampir 98 peratus, menjadikan kejadian ini antara insiden kebakaran sekolah paling serius yang pernah berlaku.








