PELABUHAN KLANG: Sebuah bot pom-pom yang membawa 19 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) karam di perairan Sabak Bernam awal pagi Sabtu lalu, mencetuskan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) besar-besaran oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, panggilan kecemasan diterima daripada seorang kru bot kira-kira pukul 4.45 pagi yang memaklumkan bot berkenaan mengalami kebocoran.
Susulan itu, Kapal Maritim (KM) Bagan Datuk dan Bot Penggalang 41 segera diatur gerak ke lokasi.
“Bot Penggalang 41 yang tiba di lokasi mendapati bot pom-pom tersebut telah karam sepenuhnya sekitar pukul 9.00 pagi.
“Seramai 16 PATI berjaya diselamatkan manakala tiga lagi masih dilaporkan hilang dan usaha pencarian sedang giat dijalankan,” katanya.
Mangsa yang diselamatkan terdiri daripada 10 lelaki iaitu dua warga Bangladesh dan lapan warga Indonesia serta enam wanita warga Indonesia berusia antara 24 hingga 50 tahun.
Mereka dipercayai sempat diselamatkan oleh Vesel Nelayan Tempatan (VNT) sebelum aset Maritim Malaysia tiba.
Bagi menyelaras operasi, Pangkalan Hadapan CARILAMAT (PHC) dibuka di Jeti Kelong Paradise sebagai pusat koordinasi melibatkan pelbagai agensi.
Operasi kini memasuki hari ketiga dengan pencarian bermula seawal pukul 7.00 pagi, meliputi radius seluas 236 batu nautika persegi menggunakan aset Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin (PPM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Maritim Malaysia menegaskan komitmen berterusan dalam memperkukuh kawalan keselamatan perairan negara serta membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan migran.
“Maritim Malaysia akan terus mempertingkat operasi penguatkuasaan dan pemantauan di Zon Maritim Malaysia bagi mengekang aktiviti penyeludupan manusia yang mengancam keselamatan serta kedaulatan perairan negara,” katanya lagi.
Beliau turut menasihatkan komuniti maritim agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika berada di laut bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah atau kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 0136606652 atau kecemasan 999 untuk tindakan segera.








