PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini menerima kunjungan hormat perpisahan Duta Besar Türkiye ke Malaysia, Emir Salim Yüksel, dalam satu pertemuan penuh mesra yang turut dimanfaatkan untuk bertukar pandangan mengenai isu-isu semasa di peringkat serantau dan global.
Anwar menzahirkan penghargaan terhadap jasa dan sumbangan Emir Salim sepanjang tempoh perkhidmatannya khususnya dalam memperkukuh hubungan persahabatan antara kedua-dua negara.
“Saya turut merakamkan penghargaan atas peranan dan sumbangan Emir Salim dalam memperkukuh persahabatan dan hubungan bilateral Malaysia–Türkiye,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Menurut Perdana Menteri, hubungan Malaysia–Türkiye kini berada pada tahap ‘Kerjasama Strategik Komprehensif’ yang menjadi asas penting dalam memperluas kerjasama pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, industri pertahanan, teknologi, pendidikan serta hubungan rakyat dengan rakyat.
Beliau berkata, hubungan akrab yang terjalin bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara, malah turut menyumbang kepada keamanan dan kestabilan serantau.
“Moga hubungan akrab antara Malaysia dan Türkiye akan terus diperkasa demi keamanan, kestabilan serantau serta kemakmuran yang memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara,” katanya.








