ADUN Seri Kembangan junjung titah Sultan Selangor, pegang teguh Rukun Negara

SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki menegaskan komitmennya untuk terus menjunjung titah Sultan Sharafuddin Idris Shah serta berpegang teguh kepada prinsip-prinsip Rukun Negara dalam menjalankan amanah sebagai wakil rakyat.

Menerusi satu kenyataan, beliau berkata prinsip Rukun Negara sentiasa menjadi panduan, inspirasi dan asas utama dalam melaksanakan tanggungjawab demi kepentingan rakyat Selangor dan negara.

Menurutnya, lima prinsip Rukun Negara iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan dan Kesusilaan akan terus dihormati dan dipatuhi dalam setiap tindakan beliau.

“Sebagai wakil rakyat, prinsip-prinsip Rukun Negara sentiasa menjadi panduan, inspirasi dan asas utama patik dalam memikul amanah serta berkhidmat untuk seluruh rakyat,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghormatan terhadap institusi diraja dan menegaskan segala tindakan yang diambil akan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat Selangor dan Malaysia.

Kenyataan itu diakhiri dengan lafaz “Daulat Tuanku” sebagai tanda taat setia kepada institusi Raja Berperlembagaan.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin menyeru Siew Ki dan bekas Exco, Ronnie Liu Tian Khiew untuk mengunjungi Plak Monumen Rukun Negara di Dataran Selangor seminggu sekali bagi menghayati makna Rukun Negara.

Baca juga:;

Anda Mungkin Berminat