Sultan Selangor Titah ADUN Hayati Rukun Negara, Pelawa Lawatan Ke Dataran Selangor

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Selangor agar menghayati prinsip Rukun Negara dengan melakukan lawatan berkala ke Dataran Selangor.

Baginda bertitah, kunjungan ke lokasi yang menempatkan Plak Monumen Rukun Negara itu sewajarnya dilakukan sekurang-kurangnya dua kali sebulan bagi memperkukuh kefahaman terhadap nilai asas perpaduan negara.

Titah khas tersebut turut ditujukan secara khusus kepada ADUN Seri Kembangan, Wong Siew Ki daripada DAP serta bekas Exco Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew.

“Beta sarankan agar datanglah seminggu sekali ke Dataran Selangor untuk fahamkan dan hayati makna Rukun Negara, agar menjadi rakyat yang tahu untuk hormat kepada kedaulatan Institusi Raja dan menjaga adab kesopanan dan kesusilaan,” titah baginda dalam kenyataan pada Selasa.

Walaupun baginda tidak menyatakan secara terperinci punca saranan itu ditujukan kepada kedua-dua individu berkenaan, ia dipercayai berkait dengan isu yang pernah dibangkitkan di peringkat negeri.

Difahamkan, Wong Siew Ki sebelum ini mencetuskan perdebatan apabila mengusulkan cadangan berkaitan sistem penternakan babi moden dalam sidang Dewan Undangan Negeri Selangor.

Sementara itu, Ronnie Liu pula pernah mengulas isu penternakan dan pentadbiran negeri yang dianggap kontroversi serta menyentuh hubungan antara pemimpin politik dan institusi istana.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut berkenan meninjau sendiri Dataran Selangor serta Plak Monumen Rukun Negara yang terletak berhadapan Tiang Bendera Negeri Selangor.

Pembinaan plak berkenaan bersama kemudahan awam di kawasan itu dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh baginda.

Baginda turut mengimbas sejarah penubuhan Rukun Negara yang diwujudkan selepas tragedi 13 Mei 1969, apabila Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) membentuk ideologi kebangsaan sebagai asas perpaduan rakyat.

“Beta berharap orang ramai khususnya generasi muda dapat membaca dan menghayati prinsip Rukun Negara yang menjadi teras perpaduan negara,” titah baginda.

Anda Mungkin Berminat