Kerajaan MADANI Terus Pastikan Kebajikan Atlet Terpelihara – PM

PETALING JAYA: Kerajaan MADANI akan terus memberi perhatian terhadap pembangunan sukan dan kebajikan atlet negara, selaras dengan pengorbanan besar yang mereka lakukan demi mengharumkan nama Malaysia.

Menurut beliau, setiap kejayaan atlet bukan sekadar angka pingat tetapi lahir daripada ‘keringat, air mata serta pengorbanan besar’ yang wajar dihormati seluruh rakyat.

“Meraikan para atlet negara dalam Anugerah Sukan Negara 2025 bukan sekadar menghargai kemenangan dan kecemerlangan tetapi mengangkat pengorbanan, disiplin serta semangat juang luar biasa mereka yang telah mengharumkan nama Malaysia di persada dunia,” katanya di laman rasmi Facebook pada Selasa.

Anwar berkata, atlet bukan sahaja menggalas cabaran negara di gelanggang, malah menjadi simbol perpaduan, ketekunan dan semangat pantang menyerah.

“Dalam dunia yang sering dipenuhi perbezaan dan pertikaian, sukan menyatukan kita semua.

“Apabila Malaysia turun gelanggang yang ada hanyalah satu semangat dan harapan yang dikongsi bersama,” katanya.

Beliau turut berkata, sukan tidak boleh dipisahkan daripada masyarakat kerana penyertaan rakyat di setiap lapisan menjadi asas kekuatan bangsa dan kecemerlangan negara.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menzahirkan ucapan tahniah kepada semua penerima anugerah serta atlet yang terus berjuang tanpa mengenal putus asa.

“Terus tingkatkan prestasi dan melangkah lebih jauh kerana rakyat akan sentiasa berdiri teguh memberi dukungan demi kejayaan Malaysia,” katanya.

Anda Mungkin Berminat