KUALA LUMPUR: Ketua Angkatan Muda Keadilan (PKR), Kamil Abdul Munim, hari ini membalas kenyataan Setiausaha Agung Muda Ainie Haziqah Shafiee, yang mendakwa beliau telah memutar belit isu berkaitan dakwaan pembiayaan dana asing terhadap gerakan masyarakat sivil.
Kamil berkata, beliau tidak pernah menghalang mana-mana pihak daripada menerima geran atau dana luar negara bagi tujuan pendidikan demokrasi, penyelidikan serta aktiviti sah, selagi ia tidak melanggar undang-undang.
“Isu yang saya bangkitkan ialah dakwaan penyelewengan dana asing untuk aktiviti yang didakwa mengancam kedaulatan negara.
“Penyelewengan bermaksud salah guna, bukan sekadar menerima dana,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Selasa.
Kamil turut menyerang balas kenyataan Ainie dengan mendakwa pemimpin Muda itu gagal memahami konteks isu yang dibangkitkan serta sengaja memutar naratif.
“Sama ada saudari malas membaca dan sengaja tidak mahu faham atau memang ada masalah untuk memahami konteks kenyataan, atau saudari sendiri sebenarnya memang sudah terkena sindrom benak ubi” katanya.
Kamil turut mendakwa dirinya dan Ainie sendiri merupakan alumni program latihan politik yang pernah menerima sokongan dana antarabangsa, termasuk daripada Konrad-Adenauer-Stiftung melalui Institut Kajian Dasar.
“Tanpa berselindung, saya dan Ainie merupakan alumni sekolah politik yang menjalankan latihan pendidikan politik dan demokrasi melalui dana antarabangsa.
“Isu yang dibangkitkan bukan berkaitan larangan menerima dana asing, sebaliknya mengenai potensi salah guna yang boleh menjejaskan keselamatan negara.
“Tiada yang lebih buruk daripada melihat kejahilan bertindak.” Ujarnya lagi.
Sebelum ini, Ainie menyifatkan Kamil sebagai hipokrit dan mendakwa beliau terlupa bahawa ramai aktivis politik, termasuk dari PKR, pernah mendapat manfaat daripada latihan dan sokongan organisasi antarabangsa.
Ketegangan tercetus selepas Kamil pada Ahad menggesa pihak berkuasa menyiasat sebuah NGO, Mandiri, berhubung dakwaan menerima pembiayaan asing untuk aktiviti yang didakwa boleh menggugat politik negara.
Bagaimanapun, Mandiri menafikan sebarang salah laku dan menghantar surat tuntutan kepada Kamil, manakala beberapa pemimpin PKR turut mempertahankan NGO berkenaan.
Baca juga:








