Sanggup bayar RM3,500 seorang seludup masuk Malaysia, enam warga India ditahan

MACHANG: Enam warga India sanggup membayar sehingga RM3,500 seorang kepada ejen bagi memasuki Malaysia secara haram menerusi pengkalan haram di sekitar Bukit Bunga sebelum ditahan di Stesen Bas Machang malam tadi.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Ahmad Radzi Hussain berkata, lima lelaki dan seorang wanita berusia antara 21 hingga 36 tahun itu ditahan menerusi Op Taring Wawasan kira-kira pukul 8.30 malam.

Menurut beliau, anggota Cawangan Risik Batalion 7 PGA Kuantan melakukan pemeriksaan di kawasan stesen bas berkenaan sebelum menahan sekumpulan individu yang berada dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah untuk memasuki Malaysia.

“Siasatan awal mendapati mereka memasuki negara ini melalui pengkalan haram di sekitar Bukit Bunga dengan bantuan ejen dikenali sebagai ‘Sandhu Saab’,” katanya, memetik Berita RTM pada Jumaat.

Beliau berkata, kesemua individu terbabit turut mengaku dijanjikan pekerjaan di Kuala Lumpur sebagai pekerja hotel oleh seorang individu dikenali sebagai “Dibi”.

“Kesemua tangkapan dipercayai memasuki Malaysia untuk bekerja dan sanggup membayar sehingga RM3,500 seorang kepada ejen,” katanya.

Tambah Ahmad Radzi, semua suspek kini ditahan di Lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Kes tersebut diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Machang untuk tindakan lanjut.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat