PUTRAJAYA: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan prestasi sosioekonomi Kelantan kekal stabil pada Suku Tahun Pertama 2026 (ST1 2026) meskipun sentimen perniagaan di negeri itu dilihat lebih sederhana.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, keadaan tersebut dipacu oleh inflasi yang masih terkawal, pasaran buruh yang stabil serta pertumbuhan penduduk yang terus meningkat.
Menurut beliau, dapatan itu diterbitkan menerusi laporan Indikator Sosioekonomi Negeri Kelantan, Suku Tahun Pertama 2026 yang merupakan penjenamaan semula daripada penerbitan Poket Stats Negeri dengan penambahan indikator ekonomi dan sosial utama.
“Ekonomi Malaysia terus berkembang pada suku tahun pertama 2026, mencerminkan daya tahan asas ekonomi serta keadaan pertumbuhan yang stabil dalam persekitaran global yang mencabar,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Dalam tempoh sama, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.4 peratus dengan nilai RM437.7 bilion berbanding 6.2 peratus pada suku sebelumnya.
DOSM memaklumkan, Indeks Harga Pengguna (IHP) Kelantan meningkat kepada 0.7 peratus pada Mac 2026 berbanding 0.2 peratus pada Februari lalu susulan ketidaktentuan harga komoditi global.

Dari sudut perdagangan luar negeri, eksport Kelantan pada ST1 2026 menguncup 30.8 peratus kepada RM855,000 berbanding RM1.24 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Import turut menurun sebanyak lima peratus kepada RM727,000 berbanding RM765,000 sebelum ini, mencerminkan aktiviti perdagangan yang lebih perlahan.
Bagi pasaran buruh, jumlah tenaga buruh meningkat kepada 740,900 orang berbanding 738,500 orang pada suku sebelumnya dengan kadar penyertaan tenaga buruh kekal stabil pada 59 peratus.
Bilangan penduduk bekerja pula meningkat kepada 710,500 orang manakala kadar pengangguran kekal pada 4.1 peratus.
Dalam pada itu, imbangan bersih jangkaan perniagaan mencatatkan bacaan negatif 4.4 peratus bagi tempoh Januari hingga Jun 2026 berbanding negatif 3.9 peratus pada suku sebelumnya, menunjukkan prospek perniagaan yang lebih berhati-hati.
Prestasi sektor pembuatan turut sederhana apabila kapasiti penggunaan industri direkodkan pada 72.6 peratus sepanjang ST1 2026.
Dari aspek demografi, jumlah penduduk Kelantan meningkat kepada 1.916 juta orang berbanding 1.913 juta orang pada suku sebelumnya.
Dalam tempoh sama, sebanyak 7,634 kelahiran hidup dan 2,919 kematian direkodkan di negeri itu.
Mohd Uzir berkata, penerbitan berkenaan merupakan inisiatif DOSM bagi memperkukuh penyampaian statistik di peringkat negeri menerusi penyediaan data sosioekonomi secara lebih kerap dan komprehensif.
Baca juga:








