KPM tidak kompromi gangguan seksual, guru direhatkan serta-merta – Fadhlina

PUTRAJAYA: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak akan berkompromi terhadap sebarang kes gangguan seksual melibatkan warga sekolah.

Beliau berkata, kes membabitkan seorang guru wanita yang didakwa melakukan amang seksual terhadap pelajar lelaki kini telah diambil alih sepenuhnya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, individu terbabit telah ditahan pihak berkuasa manakala mangsa pula kini berada di bawah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Siasatan diserahkan kepada PDRM. Guru direhatkan serta-merta dan siasatan dalaman KPM tetap diteruskan.

“KPM tidak akan berkompromi dalam kes gangguan seksual,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Fadhlina turut menyeru masyarakat supaya terus tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat dakwaan berkaitan kesalahan seksual, khususnya melibatkan kanak-kanak.

Katanya, tindakan segera perlu diambil oleh pihak berkuasa setiap kali aduan diterima bagi memastikan keselamatan dan kebajikan mangsa terus terpelihara.

“Masyarakat perlu mengambil tanggungjawab bersama untuk terus mengingatkan semua pihak mengenai kewajipan melindungi kanak-kanak,” katanya.

Terdahulu, seorang guru wanita didakwa di Mahkamah Sesyen atas lima pertuduhan melakukan amang seksual terhadap pelajar lelakinya yang berusia 14 tahun sejak tahun lalu.

Tertuduh, Nurul Asyikin Sutan Shahril, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Aishah Ab Rashid.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat