KUALA PERLIS: Dataran Lok 9 bergema dengan warna-warni budaya apabila Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, berkenan berangkat ke Malam Citrawarna Kuala Perlis 2026 Festival Rakyat 3.0 pada Jumaat.
Keberangkatan baginda turut diiringi Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail serta Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang menambahkan seri majlis penuh meriah itu.
Program anjuran Kerajaan Negeri Perlis dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Kementerian Belia dan Sukan itu diadakan bersempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan ke-83 Tuanku Raja Perlis dan Tahun Melawat Perlis 2026.
Baginda turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian Malam Citrawarna Kuala Perlis 2026 di Dataran Lok 9.
Menurut hantaran rasmi Pejabat Khidmat Pengurusan (SUK) Perlis, majlis turut menyaksikan penyerahan penajaan Festival Rakyat 3.0 oleh rakan strategik kepada Kerajaan Negeri.
Penganjuran itu menghimpunkan pelbagai elemen seni, budaya dan warisan masyarakat berbilang kaum.

“Penganjuran Malam Citrawarna Kuala Perlis 2026 mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri Perlis dalam memperkasa seni, budaya dan warisan sebagai pemangkin perpaduan rakyat.
“Ia juga menjadi platform penting dalam memperkukuh identiti budaya negeri serta mempromosikan Perlis sebagai destinasi pelancongan berteraskan budaya,” katanya.
Antara pengisian menarik yang memeriahkan suasana ialah persembahan JKKN, Himpunan Melayu Berbusana, perarakan kereta berhias, Tarian Ayam Didik serta pertunjukan bunga api yang menutup malam dengan penuh gemilang.
Untuk info, Malam Citrawarna Kuala Perlis 2026 bukan sekadar pesta hiburan tetapi simbol perpaduan rakyat dan usaha memperkukuh identiti budaya negeri yang kaya dengan warisan.








