Penjenayah Tumpas Dalam Kejadian Berbalas Tembakan Di Bangi Lama

KAJANG: Dua penjenayah tegar warga tempatan maut selepas berbalas tembakan dengan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dalam satu insiden di Jalan Persiaran Seri Putra 2, Bandar Seri Putera, Bangi Lama, malam tadi.

Menurut kenyataan media Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, CP Datuk M. Kumar S. Muthuvelu, kejadian berlaku sekitar pikul 9.10 malam apabila pasukan polis bertindak selepas menerima maklumat mengenai kegiatan jenayah aktif di kawasan berkenaan.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan bahawa satu kejadian berbalas tembakan di antara Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dengan dua penjenayah tegar warga tempatan telah berlaku di Jalan Persiaran Seri Putra 2, Bandar Seri Putera, Bangi Lama, Kajang, Selangor,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Hasil pemeriksaan di lokasi menemukan pelbagai barangan dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah termasuk sebuah revolver, beberapa butir peluru dan kelongsong peluru, empat bilah parang, peralatan pecah rumah, topeng muka serta sarung tangan.

“Suspek disyaki terlibat dalam beberapa kes samun di sekitar Lembah Klang,” katanya.

Anda Mungkin Berminat