GENTING HIGHLANDS: Mulai 28 Mei 2026, perjalanan ke Genting Highlands akan berubah apabila caj jalan baharu mula dilaksanakan di dua pintu masuk utama iaitu Genting Sempah dan Gohtong Jaya.
Caj itu dikenakan bagi setiap kemasukan, dengan kadar berbeza mengikut jenis kenderaan.
Bagi kenderaan Kelas 1 seperti kereta dan van, caj ditetapkan sebanyak RM5, manakala lori berat boleh dikenakan sehingga RM25.
Teksi pula dikenakan caj tetap RM3.30, sementara bas dikenakan RM5.
Menariknya, motosikal dan kenderaan kecemasan diberikan pengecualian sepenuhnya daripada bayaran itu.
Penduduk tetap Genting Highlands turut diberikan perhatian.
Bermula 28 Jun 2026, mereka akan menikmati kadar istimewa dengan dua pilihan iaitu sama ada diskaun 10 peratus bagi setiap kemasukan atau pas bermusim enam bulan yang membolehkan kemasukan tanpa had.
Sebelum tarikh tersebut, kenderaan berdaftar penduduk tetap tidak akan dikenakan caj.








