ISTANBUL: Lawatan khas Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah ke Turkiye berakhir dengan penuh bersejarah apabila Baginda berkenan berkunjung ke Istana Topkapi, pusat pemerintahan empayar Uthmaniyah selama hampir empat abad.
Istana yang dibina oleh Sultan Mehmed II selepas penaklukan Istanbul (Constantinople) pada tahun 1453 itu menjadi simbol kegemilangan tamadun Islam dan empayar Uthmaniyah dari tahun 1465 hingga 1853.
Dalam kunjungan hampir dua jam, Seri Paduka Baginda meneliti pelbagai artifak berharga di bilik khazanah diraja serta khazanah Islam yang tersimpan di muzium istana tersebut.
Keberangkatan Baginda turut diiringi Paduka Anakanda, Tunku Temenggong Johor, YAM Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor, YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor, YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim.
Kunjungan ke Istana Topkapi menjadi penutup tirai lawatan khas selama tiga hari ke Turkiye, yang menyaksikan penglibatan Raja Permaisuri Agong dalam beberapa acara penting termasuk majlis pelancaran kapal Tentera Laut Diraja Malaysia di Istanbul Shipyard.
Seri Paduka Baginda bersama Paduka Anakanda berangkat pulang ke tanah air menaiki pesawat peribadi yang berlepas pada pukul 8 malam waktu Turkiye (1 pagi waktu Malaysia), menandakan berakhirnya satu lagi episod diplomasi bersejarah yang mengukuhkan hubungan budaya dan persahabatan antara Malaysia dan Turkiye.








