Tiada Pimpinan PKR Kelantan Sertai Parti Bersama

KOTA BHARU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Kelantan menegaskan bahawa kesemua 14 Ketua Cabang bersama seluruh jawatankuasa cabang di negeri itu kekal teguh memberikan taat setia dan sokongan penuh kepada Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Negeri PKR Kelantan, Rahim Hasan, menolak sebarang dakwaan bahawa ada pimpinan cabang atau anggota jawatankuasa yang menyertai Parti Bersama.

“Parti tersebut bukan pilihan kami dan tidak sesekali akan menggugat kesetiaan kami kepada perjuangan Parti Keadilan Rakyat,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, perjuangan reformasi yang dibawa PKR sejak sekian lama bukan perjuangan bermusim dan tidak boleh digadai hanya kerana perbezaan pandangan politik semasa.

“Kesetiaan kepada parti dan kepimpinan merupakan asas penting dalam memperkukuhkan perjuangan demi rakyat,” katanya.

Di bawah kepimpinan Pengerusi Negeri, Datuk Seri Suparadi Md Nor, PKR Kelantan kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha memperkemaskan jentera parti di semua peringkat sebagai persediaan menghadapi pilihan raya akan datang.

Rahim yakin dengan kesatuan saf kepimpinan, semangat perjuangan serta dokongan akar umbi yang terus kukuh, PKR Kelantan akan terus mara ke hadapan dalam usaha membawa perubahan dan merealisasikan misi menawan Negeri Kelantan.

“Setia kepada perjuangan, teguh bersama Presiden,” tegasnya.

Anda Mungkin Berminat