Polemik Politik Negeri Sembilan Harus Berakhir – AMANAH

PETALING JAYA: Kerajaan MADANI di Negeri Sembilan kekal utuh dan tidak perlu lagi dibelenggu polemik berpanjangan, kata Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar.

Dalam kenyataan media pada Khamis, beliau berkata, sebarang percubaan menggugat kestabilan tatakelola negeri tidak akan mendapat restu daripada kepimpinan pusat.

“Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan kekal utuh.

“Sebarang percubaan menggugat kestabilan tidak mendapat restu kepimpinan pusat.

“Maknanya mudah. Isu ini telah diputuskan di peringkat tertinggi. Tidak perlu lagi polemik yang berpanjangan,” katanya.

Beliau berkata, segala tindakan yang menyentuh sensitiviti negeri mesti dirujuk kepada Majlis Perundingan tertinggi kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“Keputusan ini menunjukkan kepimpinan pusat UMNO mengambil pendekatan matang, mengutamakan kestabilan kerajaan negeri dan menolak sebarang tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan.

“Menghormati kerangka Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan, ini penting untuk difahami oleh akar umbi,” katanya.

Mahfuz berkata, polemik itu bukan soal menang atau kalah dalam politik dalaman tetapi berkait rapat dengan mandat rakyat serta kestabilan negeri.

Beliau turut menyeru semua pihak menghentikan serangan terbuka sesama komponen Kerajaan MADANI dan mengelakkan naratif yang membakar sentimen.

“Kita tidak pertahankan kesilapan sesiapa tetapi kita juga tidak benarkan perpecahan melemahkan kerajaan yang dipilih rakyat.

“Kalau ada yang terlalu ghairah bermain politik hingga hampir menggugat kestabilan, kenyataan ini sudah cukup menjadi cermin – bukan semua langkah itu mendapat restu,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat