MCMC Perhebat Usaha Lindungi Kanak-Kanak Daripada Bahaya Digital

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkukuh keselamatan digital negara dengan melaksanakan 37 sesi libat urus bersama pengendali platform media sosial dan pihak berkepentingan sepanjang enam bulan lalu.

Langkah itu menjadi persediaan penting bagi penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang mula berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.

Menurut kenyataan media MCMC pada Selasa, perbincangan tersebut memberi tumpuan kepada mekanisme pencegahan termasuk pengesahan umur pengguna, kawalan ibu bapa serta penguatkuasaan syarat umur minimum 16 tahun bagi pemilikan akaun media sosial di Malaysia.

Selain itu katanya, usaha moderasi proaktif turut digerakkan bagi mengurangkan kandungan memudaratkan seperti bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM), penipuan, buli siber dan pelbagai bentuk ancaman lain.

“MCMC menekankan langkah-langkah ini bagi mewujudkan pengalaman dalam talian yang lebih selamat dan bersesuaian dengan umur golongan muda dengan penekanan terhadap pengawasan ibu bapa, perlindungan platform lebih kukuh serta reka bentuk platform yang lebih bertanggungjawab,” katanya.

MCMC berkata, sesi libat urus selepas penguatkuasaan ONSA turut melibatkan inisiatif ‘Regulatory Sandbox’ yang bermula sejak Januari lalu.

Ia bertujuan menilai pendekatan teknikal terbaik dalam pelaksanaan mekanisme pengesahan umur pengguna.

Lawatan kerja serta perbincangan teknikal di Singapura bersama wakil Kementerian Komunikasi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) turut diadakan bagi memperincikan aspek pencegahan jenayah siber dan akauntabiliti platform.

“Ia bertujuan memperincikan aspek pencegahan jenayah siber, akauntabiliti platform serta pengesahan umur bersama penyedia platform utama,” menurut kenyataan sama.

Secara keseluruhan, garis masa libat urus sejak hujung tahun lalu merangkumi sesi penerangan berkaitan instrumen subsidiari ONSA, kesiapsiagaan operasi bersama industri, NGO serta organisasi antarabangsa.

MCMC turut mengadakan taklimat teknikal bersama agensi penguatkuasaan melalui Pasukan Petugas ‘Regulatory Sandbox’ selain penyelarasan berterusan dengan penyedia platform bagi memastikan kelancaran pematuhan syarat pengesahan umur.

“Komitmen berterusan menerusi ‘Regulatory Sandbox’ penting bagi mengenal pasti pertimbangan operasi, teknikal dan pematuhan agar reka bentuk platform di Malaysia menjadi ruang digital yang selamat, bertanggungjawab dan bebas daripada pemangsa siber,” katanya.

Anda Mungkin Berminat