PETALING JAYA: Malaysia terus mengekalkan trajektori pertumbuhan ekonominya dengan momentum sektor dan pasaran buruh yang stabil, menurut laporan Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia (MESR) Siri 5/2026 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), hari ini.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, ekonomi negara mencatatkan pertumbuhan 5.4 peratus bagi suku pertama tahun 2026, sedikit sederhana berbanding 6.2 peratus pada suku sebelumnya.
“Walau bagaimanapun, bagi pelarasan musim mengikut suku tahunan, ekonomi Malaysia mencatatkan penguncupan marginal 0.01 peratus berbanding pertumbuhan 1.4 peratus pada ST4 2025,” katanya.
Beliau berkata, sektor perkhidmatan kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan, sementara kebanyakan sektor lain menunjukkan prestasi positif kecuali perlombongan dan pengkuarian yang mencatatkan penurunan.
Momentum ekonomi turut disokong oleh perbelanjaan penggunaan akhir swasta dan pembentukan modal tetap kasar.
Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat 3.1 peratus pada Mac 2026, mengekalkan momentum daripada bulan sebelumnya.
Sektor pembuatan berkembang 5.5 peratus, diikuti oleh elektrik (4.9%), manakala sektor perlombongan menguncup 6.5 peratus.
Nilai jualan sektor pembuatan melonjak kepada RM173.1 bilion, didorong oleh subsektor elektrik dan elektronik (+13.3%) serta makanan, minuman dan tembakau (+7.8%).
Sektor Perkhidmatan Malaysia mencatatkan pertumbuhan 8.1 peratus tahun ke tahun, dengan hasil mencecah RM682 bilion.
Indeks Volum Perkhidmatan turut meningkat 5.8 peratus kepada 168.0 mata.
Dalam perdagangan luar, jumlah dagangan Malaysia meningkat 9.3 peratus kepada RM273 bilion pada Mac 2026, dengan eksport naik 8.3 peratus dan import 10.4 peratus.
Lebihan dagangan kekal kukuh pada RM24.6 bilion.
Malaysia mencatatkan lebihan Imbangan Akaun Semasa (CAB) sebanyak RM15.2 bilion pada suku pertama 2026, disokong oleh prestasi kukuh akaun barangan dan perkhidmatan.
Pelaburan Langsung Asing (FDI) merekodkan aliran masuk bersih RM22.8 bilion, manakala Pelaburan Langsung di Luar Negeri (DIA) meningkat kepada RM8.1 bilion.
Inflasi kekal terkawal dengan peningkatan 1.7 peratus pada Mac 2026, didorong oleh kumpulan pengangkutan (1.6%), pendidikan (2.8%), dan minuman alkohol serta tembakau (2.6%).
“Inflasi keseluruhan kekal sederhana, mencerminkan kestabilan harga dan permintaan domestik yang berterusan,” katanya.
Pasaran buruh Malaysia kekal stabil dengan tenaga buruh meningkat 0.3 peratus kepada 17.23 juta orang dan kadar pengangguran menurun kepada 2.9 peratus.
Jumlah pekerjaan meningkat 1.8 peratus tahun ke tahun, mencecah 9.23 juta pekerjaan.
Melihat ke hadapan, prospek ekonomi Malaysia dijangka terus stabil, disokong oleh peningkatan Indeks Pelopor (IP) kepada 113.3 mata pada Mac 2026.
Aktiviti domestik yang kukuh dan pelaburan berterusan dijangka membantu negara menghadapi ketidaktentuan global.
Malaysia turut mencatat sejarah apabila menduduki tangga pertama dunia dalam laporan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25 oleh Open Data Watch (ODW), mengatasi 197 negara lain, iaitu satu lonjakan besar daripada kedudukan ke-67 pada penilaian ODIN 2022/23.
Platform OpenDOSM NextGen kini menyediakan katalog dan visualisasi data bagi memudahkan pengguna menganalisis pelbagai maklumat ekonomi melalui open.dosm.gov.my.








