Pasport Malaysia Versi Baharu Ditunda – JIM

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) hari ini memaklumkan bahawa pelaksanaan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) versi baharu, yang sebelum ini dijadualkan bermula pada 1 Jun 2026, akan ditangguhkan ke satu tarikh baharu yang akan diumumkan kemudian.

Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, langkah itu diambil bagi memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan serta pengalaman urusan rakyat terus berada pada tahap terbaik.

“Orang ramai masih boleh memperbaharui PMA sedia ada seperti biasa dan pasport yang masih berkuat kuasa kekal sah digunakan sehingga tamat tempoh,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut berkata, sebarang perkembangan lanjut mengenai pelaksanaan PMA versi baharu akan dimaklumkan melalui saluran rasmi jabatan dari semasa ke semasa bagi memastikan orang ramai mendapat maklumat yang tepat dan terkini.

Pada masa yang sama, beliau turut menzahirkan penghargaan atas kerjasama dan sokongan berterusan daripada orang ramai.

“JIM amat menghargai kerjasama dan sokongan berterusan daripada orang ramai serta kekal komited dalam memperkukuh keselamatan dokumen perjalanan negara dan penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai disaran mengikuti saluran rasmi Jabatan Imigresen Malaysia bagi sebarang pengumuman terkini berkaitan pelaksanaan PMA versi baharu.

Anda Mungkin Berminat