Aidiladha: Pengorbanan Menuntut Keikhlasan – PM

PUTRAJAYA: Suasana penuh kesederhanaan dan keharmonian mewarnai sambutan Aidiladha di Masjid Putra pagi ini apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkesempatan menunaikan solat sunat Hari Raya Aidiladha bersama ribuan jemaah.

“Alhamdulillah, bersama Azizah saya berkesempatan menyertai ribuan jemaah menunaikan solat sunat Hari Raya Aidiladha di Masjid Putra dalam suasana yang penuh kesederhanaan, keharmonian dan penghayatan takwa kepada Allah SWT,” ujar beliau.

Gema takbir Aidiladha bergema di ruang masjid, diiringi khutbah bertajuk ‘Pengorbanan Menuntut Keikhlasan’ yang mengingatkan umat Islam bahawa pengorbanan sebenar bukan sekadar pada harta dan tenaga tetapi juga pengorbanan sifat ego, keangkuhan, kebencian serta segala yang menjauhkan diri daripada rahmat Allah SWT.

Khutbah turut menyeru jemaah agar memperkukuh ukhuwah, menyemai sifat ihsan dan belas kasih sesama insan serta menjadikan semangat pengorbanan sebagai asas membina masyarakat yang bersatu, berakhlak dan saling peduli.

Selepas solat, Perdana Menteri dan isteri sempat bersalaman, bertegur sapa serta bergambar bersama para jemaah sebagai tanda meraikan hari penuh barakah ini.

“Moga Aidiladha kali ini memperteguh keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah SWT, mempererat persaudaraan sesama insan serta menyuburkan semangat pengorbanan dan keikhlasan dalam setiap amal dan kehidupan. Insya-Allah,” kata Anwar.

Anda Mungkin Berminat