DAPSY Gesa Parlimen Bubar Jika Umno Johor Gerak Solo

KUALA LUMPUR: Pemuda DAP (DAPSY) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya membubarkan Parlimen dengan segera bagi membuka laluan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) dan pilihan raya negeri (PRN) diadakan serentak, sekiranya Umno memilih untuk bergerak sendirian di Johor.

Gesaan itu hadir selepas tindakan Umno menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan daripada Pakatan Harapan (PH), selain kenyataan mengenai ‘perang habis-habisan’ di Johor.

“Jika ada pihak yang cenderung menikam dari belakang dan memperlekeh semangat perpaduan, maka DAPSY menyeru PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) membubarkan Parlimen segera,” kata kenyataan itu pada Khamis.

Menurut DAPSY, kerjasama serta rundingan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) selepas PRN 2023 telah memberi ‘talian hayat’ kepada Umno untuk terus kekal relevan dalam politik negara.

“Umno perlu menjawab peranan rakan gabungan yang membantu mengekalkan relevansi politik mereka selepas kejatuhan teruk pada PRU lalu,” tegas kenyataan itu.

DAPSY turut menyifatkan ada pihak sebagai ‘kacang lupakan kulit’ ketika Kerajaan Perpaduan sedang berdepan cabaran ekonomi global.

Dalam masa sama, kenyataan itu memetik pandangan penganalisis politik Ilham Centre, Hisommudin Bakar dan sarjana Azmil Tayeb bahawa Umno sukar menewaskan Perikatan Nasional (PN) jika terus bersaing dalam politik identiti Melayu-Islam.

“Umno perlu terus bergantung kepada sokongan pengundi bandar dan bukan Melayu yang mahukan kestabilan serta kesederhanaan,” menurut kenyataan itu.

Anda Mungkin Berminat