Budaya Bersih Jemaah Malaysia Di Tanah Suci Angkat Imej Negara

PETALING JAYA: Setiap tahun, jemaah haji Malaysia sering mendapat pujian kerana sikap mereka yang menjaga kebersihan dan berdisiplin sepanjang berada di Tanah Suci khususnya ketika operasi Masyair di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

Walaupun berdepan keadaan sesak, sempit, panas dan meletihkan, jemaah Malaysia tetap dikenali dengan budaya menjaga kebersihan khemah serta kawasan sekitar.

Ada khemah yang ditinggalkan dalam keadaan bersih, kemas, malah lebih tersusun berbanding sebelum dihuni.

Tilam, bantal dan selimut disusun rapi, kasut serta selipar diletakkan teratur dan kawasan laluan khemah juga dijaga sebaik mungkin.

Ketika bermabit di Muzdalifah pula, amalan membawa plastik sampah sendiri dan memastikan tiada sisa ditinggalkan sebelum bergerak ke lokasi seterusnya sudah menjadi antara contoh disiplin yang sering dipuji.

Di Mina, walaupun kedudukan khemah padat dan sangat hampir dengan jemaah dari pelbagai negara, jemaah Malaysia tetap berusaha memastikan kawasan mereka tidak dipenuhi sampah-sarap.

Bezanya, ada juga sesetengah kumpulan jemaah dari negara lain yang meninggalkan kawasan dalam keadaan berselerak dengan sampah, sisa makanan dan barangan terbiar.

Sebab itu, apabila khemah jemaah Malaysia ditinggalkan bersih dan teratur, ia bukan sekadar nampak elok di mata tetapi membawa imej adab, amanah dan didikan yang baik.

Budaya ini menunjukkan bahawa ibadah bukan hanya soal amalan khusus tetapi juga bagaimana seseorang menjaga ruang yang digunakan bersama.

“Bila orang lain meninggalkan sampah, jemaah kita meninggalkan teladan,” menurut satu hantaran di Facebook PublicHealthMalaysia.

Anda Mungkin Berminat