DHAKA: Seekor kerbau jantan albino seberat 700 kilogram di Bangladesh, yang tular kerana memiliki jambul bulu perang keemasan unik, kini mendapat kediaman baharu di zoo negara selepas meraih populariti luar biasa di media sosial.
Haiwan tersebut, yang digelar ‘Donald Trump’ oleh warga maya kerana gaya bulunya menyerupai rambut ikonik Presiden Amerika Syarikat itu, diberikan perlindungan khas oleh pihak berkuasa.
Difahamkan, pada awalnya kerbau itu akan dijual oleh pemiliknya sempena Aidiladha.
Namun, memandangkan ciri fizikalnya yang jarang ditemui, kerajaan Bangladesh mengambil langkah menjadikannya khazanah negara untuk tujuan pameran dan pemuliharaan.
Ciri unik kerbau albino itu menjadikannya tular di media sosial, malah menarik kunjungan orang ramai yang mahu bergambar dengannya.
Kurator Zoo Negara, Atiqur Rahman, mengesahkan haiwan tersebut akan menerima penjagaan rapi.
“Kami telah menyediakan ruang khas dan melantik penjaga bertauliah untuk memantau keadaannya.
“Buat masa ini, ia akan melalui proses kuarantin selama dua minggu sebelum boleh bertemu pengunjung,” jelas beliau.
Pihak Jabatan Penternakan menyifatkan langkah membawa kerbau itu ke zoo sebagai keputusan tepat.
Dengan usia yang masih muda dan status albino yang jarang ditemui, ia berpotensi hidup lebih lama di bawah seliaan pakar.








