KUALA LUMPUR: Kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi sedang merangka pelbagai inisiatif bagi membantu pengamal media tempatan berdepan cabaran semasa termasuk ancaman teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan ketidaktentuan ekonomi.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sambutan Hari Wartawan Nasional tahun ini berlangsung dalam suasana ramai petugas media bimbang mengenai masa depan kerjaya mereka susulan perkembangan teknologi dan tekanan ekonomi global.
“Tahun ini kita menyambut Hari Wartawan dalam suasana ramai yang mungkin risau tentang pekerjaan dan masa depan mereka akibat AI serta isu ekonomi.
“Namun insya-Allah, kerajaan khususnya Kementerian Komunikasi sedang mengusahakan beberapa langkah untuk membantu rakan-rakan dalam bidang media,” katanya ketika berucap sempena sambutan HAWANA 2026 hari ini, seperti dipetik Bernama.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa media yang bebas dan beretika merupakan asas penting dalam memperkukuh sistem demokrasi negara.
“Media bebas dan beretika bukan sahaja penting untuk demokrasi negara, tetapi juga masa depan Malaysia,” katanya.
Mengangkat tema “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti”, kemuncak HAWANA 2026 dijadual berlangsung di PICCA @ Arena Butterworth pada 20 Jun ini dan dijangka dirasmikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Program itu dijangka menghimpunkan kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara selain menjadi platform strategik untuk membincangkan idea baharu serta hala tuju industri kewartawanan semasa.
Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan edisi pertama Utusan Melayu pada 29 Mei 1939 sebagai penghargaan terhadap jasa pengamal media dan wartawan veteran dalam pembangunan negara.
HAWANA dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Bernama selaku agensi pelaksana.
Baca juga:








