PETALING JAYA: Tindakan beberapa pihak, termasuk MCA menerusi Pengerusi MCA Selangor, Lawrence Low, yang cuba mempolitikkan usaha pembinaan Hospital Awam Petaling Jaya dengan mempersoalkan kelewatan projek tersebut disifatkan sebagai tidak wajar.
Setiausaha Agung AMANAH, Muhammad Faiz Fadzil menggesa semua pihak supaya tidak mempolitikkan isu pembinaan Hospital Awam Petaling Jaya yang disifatkan sebagai keperluan penting rakyat.
Katanya, Petaling Jaya sudah lama memerlukan hospital awam sendiri bagi menampung pertambahan penduduk serta mengurangkan tekanan terhadap hospital sekitar.
“Sementara menunggu pembinaan hospital tersebut, kerajaan wajar mempertimbangkan langkah sementara seperti menyewa hospital swasta untuk dijadikan hospital awam.
“Cadangan ini boleh membantu meningkatkan akses rawatan kesihatan awam dalam tempoh lebih segera,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Muhammad Faiz berkata, pendekatan itu selari dengan pelaksanaan Hospital Outsourcing Programme (HSOP) oleh Kementerian Kesihatan sejak 2023.
“HSOP membuktikan kerjasama awam-swasta mampu mempercepat akses perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.
“Projek Hospital Awam Petaling Jaya bukan agenda baharu kerana telah lama dirancang sejak 2011.
“Namun pelaksanaannya memerlukan kerjasama Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri,” katanya lagi.
Muhammad Faiz menambah, usaha mengenal pasti tapak hospital hanya dapat dipergiat selepas 2018, namun tertangguh akibat perubahan politik dan pandemik COVID-19.
Katanya, Kerajaan kini perlu lebih berhati-hati memilih lokasi berikutan kos tanah yang semakin meningkat.
“Pemilihan tapak mesti mengambil kira akses, kepadatan penduduk dan kemampuan kewangan kerajaan,” ujarnya.
Tambah beliau, komitmen Menteri Kesihatan Datuk Seri Dzulkefly Ahmad dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dalam meneruskan projek itu wajar disokong.
“Projek hospital ini bukan soal politik, tetapi soal nyawa dan kebajikan rakyat,” katanya.
Baca juga:







