KUALA LUMPUR: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya rancangan terbaharu rejim Zionis Israel untuk merampas dan memperluaskan kawalannya ke atas 70 peratus wilayah Gaza, sambil menyifatkan tindakan itu sebagai tidak sah serta bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, langkah tersebut merupakan satu lagi pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), selain bercanggah dengan pelbagai resolusi Majlis Keselamatan PBB dan Perhimpunan Agung PBB.
Menurut kementerian itu, masyarakat antarabangsa dan PBB perlu menolak serta membantah sebarang usaha untuk mengubah status dan realiti wilayah Gaza kerana tindakan sedemikian hanya akan menghakis prospek keamanan serta keadilan di rantau berkenaan.
“Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa dan PBB untuk menolak rancangan itu. Sebarang cubaan mengubah realiti wilayah Gaza hanya akan menjejaskan usaha ke arah keamanan dan keadilan yang berkekalan,” menurut kenyataan tersebut.

Wisma Putra menegaskan bahawa Gaza merupakan sebahagian daripada Wilayah Palestin sejak sekian lama, termasuk sebelum penubuhan negara Israel, dan sebarang usaha untuk mengubah status wilayah itu hanya akan menambah ketidakadilan serta memburukkan lagi situasi keselamatan yang sudah pun rapuh.
Menurut kenyataan itu, rakyat Gaza terus berdepan penderitaan akibat kemusnahan dan keganasan yang berlaku, manakala sebarang bentuk pengilhakan wilayah Palestin tidak boleh diterima kerana bercanggah dengan prinsip undang-undang antarabangsa.
“Langkah itu mencerminkan usaha terancang untuk menafikan hak sah rakyat Palestin, termasuk hak mereka untuk menubuhkan sebuah negara yang merdeka dan berdaulat di tanah air sendiri meliputi Tebing Barat, Gaza dan Baitulmaqdis Timur,” katanya.
Malaysia turut mengulangi pendirian tegas dan solidariti yang tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan rakyat Palestin serta komitmen berterusan negara dalam menyokong penubuhan Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
Baca juga:








