ROTTERDAM: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan seorang lagi kru kapal pelayaran MV Hondius dijangkiti Andes hantavirus, menjadikan jumlah keseluruhan kes di Belanda kini meningkat kepada 12 orang.
Kes terbaru itu menimbulkan kebimbangan antarabangsa kerana strain Andes merupakan satu-satunya hantavirus yang boleh menular dari manusia ke manusia.
Menurut kenyataan rasmi WHO, kru berkenaan telah dimasukkan ke hospital sebagai langkah berjaga-jaga dan kini diasingkan.
“Kami mengesahkan keputusan ujian positif ini selepas disahkan oleh dua makmal berbeza.
“Risiko penularan dalam negara kekal sangat kecil,” jelas Institut Kesihatan Awam Belanda (RIVM).
Sejak awal Mei, tiga kematian telah direkodkan akibat jangkitan itu, namun tiada kematian baharu dilaporkan.
WHO berkata, lebih 600 kontak di 30 negara sedang dipantau termasuk 122 penumpang dan kru yang telah pulang ke negara masing-masing.
Tempoh inkubasi virus itu boleh mencecah sehingga enam minggu, bermakna kes baharu masih berpotensi muncul.
Kapal MV Hondius dilaporkan berlepas dari Ushuaia, Argentina pada 1 April lalu sebelum singgah di Cape Verde dan Tenerife, Sepanyol, lalu tiba di Rotterdam.
WHO percaya punca jangkitan bermula daripada pendedahan kru dan penumpang kepada tikus semasa ekspedisi pemerhati burung.
Walaupun risiko global dinilai rendah, WHO tetap mengingatkan semua negara agar terus memantau kontak rapat dan mengambil langkah berjaga-jaga.








