Kajian dedah 92 peratus guru puas hati Baucar Buku MADANI

KUALA LUMPUR: Program Baucar Buku Guru MADANI 2025 memberi manfaat kepada lebih 400,000 guru dan pegawai perkhidmatan pendidikan di seluruh negara dalam usaha memperkukuh budaya membaca serta meningkatkan pembangunan profesionalisme melalui akses kepada bahan bacaan berkualiti.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku, Adibah Omar berkata, platform penebusan digital BookCapital.my yang digunakan dalam program tersebut berjaya memperluaskan akses warga pendidik kepada pelbagai bahan bacaan dan sumber ilmu.

Menurut beliau, penggunaan sistem digital bukan sahaja meningkatkan kecekapan dan ketelusan pelaksanaan program, malah membolehkan data direkod serta dianalisis secara lebih menyeluruh.

“Pendigitalan proses penebusan baucar membolehkan kerajaan memperoleh data yang lebih tepat berkaitan corak pembelian dan pilihan bahan bacaan dalam kalangan guru.

“Maklumat ini penting bagi menilai impak program serta membantu kerajaan merangka dasar yang lebih berkesan berasaskan data. Berbanding baucar fizikal, pendekatan digital menawarkan keterlihatan data yang lebih lengkap, sistematik dan tepat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kajian impak Program Baucar Buku Guru MADANI 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Kajian yang dijalankan bersama IDE Research Centre melibatkan 1,794 responden mendapati 92 peratus peserta menyokong agar program itu diteruskan dengan beberapa penambahbaikan, manakala 82.2 peratus penerima menyatakan kepuasan terhadap pelaksanaannya.

Dapatan kajian turut menunjukkan 87.5 peratus responden berpandangan program tersebut berjaya memupuk minat membaca dalam kalangan guru dan pegawai pendidikan.

Selain itu, 63.2 peratus penerima menggunakan baucar yang diterima untuk mendapatkan bahan bacaan berkaitan bidang profesional masing-masing bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran kerjaya.

Program Baucar Buku Guru MADANI diperkenalkan bagi meningkatkan akses warga pendidik kepada bahan bacaan berkualiti, di samping menggalakkan amalan pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan guru dan pegawai perkhidmatan pendidikan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat